Bismillah.
Selepas 48 jam penerbangan dari Manchester-Muscat-Combolo-Kuala Lumpur-Kelantan, akhirnya aku dapat bertemu mata dengan keluarga. Kali terakhir kami saling berpelukan setahun yang lalu, di KLIA. Penerbangan pulang sempena
summer break itu pada awal perancangannya, pada pagi 28 itu aku sudah meluru ke pintu ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, mengheret bagasiku seberat 27 kg.
Entah bagaimana, perancangan cuma tinggal perancangan, lapangan terbang Manchester itu ternyata tidak se-gah namanya. Masakan lapangan terbang yang sudah beroperasi 80 tahun, dengan dua kali pengalaman yang sama, tidak mempunyai solusi yang pantas dan cekap bila kejadian power cut itu terulang kembali jam 615 petang waktu UK pada 26 Jun 2018.
Entah, mungkin aku cuma pandai mengkritik sedang aku sendiri tidak dapat mengsolusikan permasalahan kecil dalam hidupku.
Penerbangan kami pada 815 malam tertunda ke jam 12 malam. Mustahilnya bagi kami untuk kejar
connecting flight di Muscat. Di sini aku mengagumi kecekapan Oman Air mengatur plan B mereka untuk penumpang bernasib seperti aku, Sharina dan Mimi supaya kami masih dapat pulang ke tanah air kami, menyaksikan sendiri Malaysia Baru. Mungkin kalau Oman Air lebih teliti dalam hal pengurusan bagasi penumpang, aku mungkin akan mendaftar diri sebagai
frequent flyer mereka. Mungkin. Setelah 2 hari menunggu, ceri yang aku
packed dalam kotak kasut dibalut plastik putih cerah dihimpit oleh baju dan beg dalam bagasiku itu sudah mula mengdehidrasi. Kurang dari separuh yang masih elok rupanya. Kecewa sekali.
 |
| nasib baik setiap transit dapat meals voucher |
 |
| muscat airport transit 1 |
Sepanjang perjalanan yang mungkin paling lama pernah aku ambil (setakat ini), beberapa kali aku terpaksa menahan diri dari tertidur untuk tempoh waktu tertentu di atas
flight. Antara dua sebab utamanya, menunggu waktu subuh dan memberi peluang untuk makanan
lunch/dinner aku sekurangnya sampai ke ususku. Tidak selamanya aku dapat menahan tidurku, sekali-kali sakit juga melawan raja nafsu ini. Ada satu kali itu aku memilih untuk menonton wayang asia sebagai alternatif terakhirku.
Kartini. Wayang dari indon menjadi pilihanku.
Sangkaku wayang ini mungkin membosankan melihat pada tajuk dan
thumbnailnya. Ternyata garapan plot ceritanya dan sinematologinya tidak mengecewakanku. Film biografi yang diarah oleh Hanung Bramantyo ini mungkin antara yang paling aku gemari, mengisahkan tokoh wanita Indonesia yang cuba memecahkan persepsi masyarakat sekeliling di daerahnya terhadap darjat wanita.
Secara ringkasnya, Kartini tidak melihat perkahwinan sebagai solusi terakhir wanita untuk dianggap berharga dan bermaruah. Tapi dia memilih untuk mengangkat maruah dirinya sendiri dengan menjadi orang yang berpendidikan dan berpendirian berbeza dari wanita setempatnya pada masa itu.
Aku kagum bilamana Allah mengilhamkan aku dengan wayang ini disaat mana aku terdetik mahu menyerahkan masa hadapanku pada perkahwinan. Fikirku mungkin perkahwinan boleh mengubah perjalanan hidupku yang masih terumbang ambing ini. Memang, aku akui aku sering kali berubah-ubah imanku, semangatku dan pendirianku. Maka aku harapkan Dia menganugerahkan aku seseorang yang dapat sekurangnya membuka hatiku pada istiqamah itu.
Tapi lupa saja aku, yang perlu berubah itu aku maka yang mahukan perubahan itu mulanya dari aku dan langkah permulaan itu perlu diambil oleh aku.
Kenapa saja aku masih mengharapkan pada seseorang itu sedang seseorang itu juga mahukan seseorang untuk mengubahnya. Dan takjubnya aku pada kepercayaan yang aku telah letakkan pada seseorang yang belum aku kenali, mungkin pernah berjumpa mungkin tidak. Yang entah siapa namanya juga aku tidak tahu.
Atau mungkin bukan dia yang aku percayakan, tapi Dia.
 |
| kalau saja furrow tidak membuka pintu lubangnya, mampukah air laut Amalfi sampai ke kaki kita yang berdiri ini? |